SIBU 5 Feb. - Penyertaan lebih ramai lelaki dalam
profesion kejururawatan amat digalakkan bagi memenuhi keperluan
masyarakat secara spesifik.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk
Fatimah Abdullah berkata, jururawat lelaki amat diperlukan antaranya
untuk menjaga golongan orang kurang upaya (OKU).
"Pesakit juga lebih suka jururawat yang sama jantina dengan mereka dan ini merupakan permintaan individu," katanya.
Beliau berucap merasmikan Kuiz Anatomi Malaysian Book Of Records (MBOR) di Kolej ITA, di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata, merekrut lebih ramai jururawat
lelaki akan membantu membangunkan profesion kejururawatan di negeri ini.
"Sejumlah 7,578 kekosongan kejururawatan ditawarkan di negeri Sarawak.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 95.41 peratus atau 7,230 jawatan telah diisi sehingga Disember lalu," katanya.
Sementara itu, Fatimah berkata, di negara-negara maju mengikut
perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) nisbah jururawat dan
penduduk adalah 1:200.
Tambahnya, nisbah jururawat kepada penduduk di negeri ini pula adalah adalah 1:335.
"Ini adalah berdasarkan data yang dikutip pada Disember lalu," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej ITA, Datuk Seri Benny
Lee memberitahu, mereka berusaha mencipta satu lagi kejayaan dalam MBOR
melalui kuiz tersebut.
Katanya, pada tahun lalu, mereka memecahkan rekod MBOR melalui penganjuran Non-Stop Skipping Relay yang mana rekodnya selama 12 jam tanpa henti dipegang Universiti Malaya (UM).
"Cubaan untuk mencipta MBOR bukan semata-mata untuk kepuasan diri
tetapi melalui projek ini, kita berharap dapat memupuk semangat
berpasukan dalam kalangan pensyarah dan pelajar untuk bekerjasama ke
arah matlamat yang sama," katanya.
Dalam majlis itu, satu kuiz diadakan selama 12 jam tanpa henti yang turut dihadiri Pegawai MBOR, Amiera Kamarudzaman Hazleen.
No comments:
Post a Comment